Monday 11 November 2013

Sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan 2013






22 Oktober 2013- Sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan 2013 telah diadakan bertempat di The Zenith Hotel, Kuantan, Pahang yang melibatkan tetamu seramai hampir 2,500 orang. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang (Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'Ayatuddin Al'Mu'adzam Shah). Majlis turut diserikan dengan kehadiran Kaum Kerabat Diraja Pahang dan Menteri Besar Pahang serta VIP jemputan. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) (Datuk Rohani Abdul Karim) turut menyampaikan ucapan aluan di dalam majlis berkenaan. Kehadiran Ketua Pengarah JKM (Dato' Norani Mohd Hashim) turut memeriahkan majlis ini. Di samping itu, seramai 6 orang warga emas telah terpilih menerima Penghargaan Warga Emas Cemerlang Kategori Akademik (3 orang) dan Kategori Kebudayaan dan Kesenian (3 orang). Ia selaras dengan tema Hari Warga Emas pada tahun ini iaitu 'Ilmu Dijunjung, Warga Emas Disanjung'. Selain itu, turut diadakan acara memotong pulut kuning oleh Tuanku Sultan Pahang sempena meraikan Majlis Harijadi Tuanku Sultan Pahang dimana turut serta seorang warga emas dari Sarawak yang lahir sama tarikh lahir dengan Tuanku Sultan Pahang. Pameran Interaktif turut diadakan bagi memeriahkan Sambutan Hari Warga Emas 2013 tersebut.